Thursday 1 June 2017

Kisah Teladan Yang Menggamit Kenangan

Imjan Yassir (bukan nama sebenar) merupakan seorang budak berhingus yang lurus. Dilahirkan dalam sebuah keluarga asia tipikal, kitaran hidup Imjan Yassir hanya berkisar tentang belajar dan belajar. Pagi hari Imjan Yassir akan ke Kafa, petang ke sekolah rendah dan malam usai menonton Buletin Utama, dia akan masuk belajar. Tepat jam 11 Imjan Yassir akan masuk tidur. 

Begitulah rutin harian Imjan Yassir yang sudah disusun dengan begitu teliti oleh ibunya. Ibu Imjan Yassir hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya dan sebab itulah Imjan Yassir agak dikawal. Dia jarang keluar rumah untuk bermain. Masanya lebih banyak digunakan untuk belajar dan membuat kerja sekolah. Hujung minggu pun begitu. Mungkin sebab itulah Imjan Yassir tak ramai kawan. Kawan-kawan di sekolah pula kebanyakannya fake.

Seperti kanak-kanak asia yang lain, Imjan Yassir dituntut untuk mendapat nombor 1 dalam setiap peperiksaan. Kadang kala Imjan Yassir berasa tertekan juga untuk memenuhi harapan ini, namun lama kelamaan dia sudah biasa. Akhirnya, setiap kali peperiksaan akhir tahun Imjan Yassir pasti akan mendapat nombor 1. Kecuali satu tahun tu. Darjah 5 rasanya. Dia hanya dapat nombor 2. Sedih jugalah Imjan Yassir sebab kalah dengan Maria, anak emas cikgu kelas. Kalau mengikut gosip-gosip liar, Imjan Yassir dikatakan telah disabotaj oleh cikgu kelas demi menaikkan Maria. Wallahualam. Imjan Yassir tidak melayan gosip-gosip sebegini.

Imjan Yassir sering merasakan bahawa dirinya tidak disukai oleh cikgu-cikgu di sekolah. Entah apa sebabnya dia pun tak tahu. Bukanlah semua tetapi ada segelintir cikgu yang seolah-olah bersikap dingin dan sering berkonfrontasi dengannya. Nasib baik budak ni lurus, jadi Imjan Yassir takdelah ambil kisah sangat.

Sampailah satu masa bila Imjan Yassir menperoleh semula markah serta kertas peperiksaan pertengahan tahun matematiknya. Masa tu dia darjah 4. Kertas matematik budak ini spesial sedikit tuan-tuan. Bukan sebab A yang berjaya diperolehi, tetapi tulisan "T_ _ _ L" dengan dakwat merah jelas kelihatan di muka hadapan. Ini semua gara-gara Imjan Yassir terlupa menulis namanya sebelum menjawab ujian. Dia mahu kejar masa sebab dia pernah tak sempat siap jawab soalan sewaktu ketika dahulu. Dia kan perlu menanggung harapan yang tinggi untuk mendapat A dan nombor 1. Mungkin sebab itulah dia terlupa untuk menulis nama sehinggakan cikgu matematiknya tanpa segan silu me"T _ _ _ L"kan kertasnya.

Dan setiap reasonable man pun akan tahu 3 tempat kosong itu sebenarnya adalah huruf-huruf yang membentuk perkataan TOYOL mahupun TOLOL. Takkan jadi TUKUL sebab pertama, orang takkan guna alatan bengkel Kemahiran Hidup sebagai kata maki. Kedua, cikgu matematiknya bukanlah peminat Widji ThUKUL. Jadah apanya nak maki orang guna nama sasterawan.

Ibu Imjan Yassir marah sangat apabila mendapat tahu tentang hal ini. Laksana ibu-ibu Asia yang lain. leteran demi leteran diberikan kepada Imjan Yassir sepanjang perjalanan dari sekolah ke rumah. Oh ya lupa nak beritahu, ibu Imjan Yassir ini juga merupakan salah seorang cikgu di sekolahnya. Kiranya Imjan Yassir ni anak cikgu lah.

Tak cukup dengan leteran ibu, bapa Imjan Yassir pula sudah menunggu di rumah. Bukan main angin si bapa bila mendapat tahu anaknya di"T_ _ _ L"kan. Kena marah lagilah nampaknya budak ni. Bapa Imjan Yassir sebenarnya takdelah banyak cakap sangat tapi kalau dia mengamuk, si ibu yang garang pun akan kecut.

"Kalau akulah yang tanda kertas kau, aku akan bagi kosong!"

Begitulah antara intipati leteran si bapa kepada anaknya. Imjan Yassir tak henti-henti menangis. Dia rasa tak berguna. Dia rasa dirinya sudah gagal sebagai manusia. Mungkin usaha yang diterjemahkan melalui markah A masih lagi tak cukup. Dia harus jadi lebih sempurna lagi. Dia perlu jadi ubermensch. Sejak hari itu, dia sentiasa berhati-hati dalam membuat semua perkara dalam hidup termasuklah untuk tidak lupa menulis namanya dalam setiap kali peperiksaan. Bukan setakat nama, tarikh lahir dan nombor surat beranak pun dia tulis sekali.

Dan sejak itu jugalah sehingga dia membesar, dia mula mempersoalkan peristiwa itu. Mempersoalkan rasional cikgu matematiknya. Persoalkan argumen-argumen dalam leteran bapanya dahulu. Bukan main banyak sebenarnya intipati argumen bapanya yang tidaklah begitu logik. Dia rasa pelik, kenapa sampai begitu sekali dia dimarahi? Bukankah tugasnya adalah untuk memberikan A dan nombor satu? Kalau untuk mendidik dan beringat, ya dia boleh terima. Tapi takkanlah sampai macam tu? Dia hanya darjah 4, lurus bendul pula. Cukuplah sekadar memberikan nasihat. Mintalah untuk tidak diulang lagi kesilapan. Dia bukannya nakal dan liar pun. Imjan Yassir makan nasihat (selain makan banyak). Jadi tak perlulah nak marah atau angin ke apa.

Tapi luahan-luahan ini Imjan Yassir hanya mampu telan kelat dan simpan dalam hati sahaja. Dia kan budak yang baik. Tak lawan cakap orang tua. Dijadikan role model oleh orang lain pula (serta sumber hasad). Dia hanya mampu melupakan sahaja peristiwa itu dan maju kehadapan.

Jadi Imjan Yassir pun meneruskan kehidupan seperti biasa. Bernafas. Makan. Belajar. Tidur. Akhirnya, Imjan Yassir membesar dengan baik dan jayanya. Dia bercita-cita nak masuk politik. Katanya dia nak jadi Perdana Menteri. Alhamdulillah.

Dia juga sudah tidak berdendam dengan cikgu matematiknya.

Tammat