Thursday 19 October 2017

Kehidupan Yang Baik - satu terjemahan

Ahli falsafah Denmark Soren Kierkegaard di dalam makalahnya Journals ada menyebut semasa umurnya 20 tahun lebih; ‘Saya mahukan kebenaran dimana saya boleh hidup dan mati untuknya.’
Soalan diatas membawa kepada satu konotasi yang penting untuk direnung oleh kita semua, Apakah nilai yang wajar dipegang dalam hidup? Nilai yang berbaloi untuk kita hidup dan mati untuknya.

Sememangnya soalan ini telah mencetuskan motivasi kepada setiap ahli falsafah untuk mendalami bekenaan makna kehidupan. Berkenaan masalah dan dilema di dalam memilih pilihan; dimana sebahagian daripadanya membuatkan kehidupan bakal kita terisi dan bahagia, manakala satu lagi pilihan akan menyumbang kepada kecelakaan hidup.

Mungkin dilema Socrates pada 399 s.m boleh disingkap semula demi menekuni perkara diatas. Socrates, seorang ahli falsafah Yunani, sedang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sebuah penjara ketika usianya melangkaui 70 tahun. Ketika itu beliau sudah mempunyai reputasi sebagai ahli falsafah yang bijaksana, kritis dan gemar mempersoalkan apa sahaja. Lantaran itulah Socrates dihumban kedalam penjara dan dihukum mati dengan meminum racun diatas tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda Athens.

Di dalam penjara, peluang untuk beliau meloloskan diri dari penjara sememangnya terbuka luas. Apatah lagi sudah terang lagi bersuluh bahawa kebenaran sememangnya berpihak kepada dirinya. Beliau tidak mendapat keadilan yang sewajarnya daripada mahkamah. (Di dalam ucapannya kepada para hakim, beliau mencadangkan pula untuk diberikan pencen berbanding hukuman mati keatasnya.)

Ketika inilah Socrates memilih satu pilihan yang bakal mengundang renungan ahli-ahli falsafah selepasnya – untuk menolak tawaran melarikan diri dari penjara dan menghadapi hukuman mati tersebut sebagai seorang rakyat yang baik dan sejati (walaupun tidak mendapat keadilan oleh sistem negaranya sendiri). Beliau boleh sahaja meloloskan diri dari penjara dan meninggalkan Athens. Serta meneruskan sisa-sisa hidup dengan kepuasan. Namun, Socrates bukanlah begitu. Beliau memilih untuk dihukum diatas dua sebab – kehormatan dan kenegaraan. Baginya, kepatuhan dan keperluan sebagai seorang rakyat untuk menuruti undang-undang adalah lebih utama berbanding kehidupannya sendiri. Itulah nilai yang dipegang oleh Socrates sehingga akhir hayatnya.

Jika kita berada di dalam sepatu Socrates, apakah pilihan yang bakal kita ambil?