Monday 25 July 2016

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Asasi Undang-Undang

Tak perlu tahu apa-apa kat sini. Aku takde mood nak tulis. Bukan ada orang jumpa pun blog ni.

Kalau anda adalah manusia yang tersesat disini, carilah blog lain. Atau main Wechat.




Lukisan kita masa tadika

Tuesday 19 July 2016

Hantu Tangan

2 hari adik aku kena tahan dekat wad. Mak perlu menemaninya sepanjang malam di hospital. Oleh sebab tu, aku terpaksa menetap bersama opah di kampung. Nasib baiklah rumah kami dekat. Dalam 10 minit sahaja perjalanan. Kiranya bolehlah berulang alik kalau-kalau ada barang aku yang tertinggal ke apa.

Satu malam ketika hanya aku, opah dan atuk sahaja yang berada dalam rumah kampung yang agak besar itu, elektrik terputus secara tiba-tiba. Ketika itu aku sedang sedap main Sketchup. Rumah opah gelap habis. Hanya diterangi dengan cahaya laptop yang seperti hidup segan mati tak mahu dan sekelumit cahaya keimanan yang masih tersisa dalam diri (cewah!). Aku dengan beraninya perhatikan kearah luar rumah menerusi tingkap. Nampaknya satu Kampung Pulau Pisang bergelap. Rumah moyang dan Tok Andak di seberang sana pun kelihatan tak berlampu.

Aku pun terus menutup laptop dan bersiap-siap untuk tidur. Apa kejadahnya main Sketchup dalam gelap dan berpanas ni tuan-tuan! Jadi aku terus landing di sebelah opah. Sebagai seorang remaja zaman globalisasi yang dipacu internet maka aku tak boleh tidur awal. Jadi otak aku perlahan-lahan mula meng-flashback semula kenangan-kenangan ketika aku masih kecil di rumah kampung itu.

Masa kecil, kalau pulang sahaja ke kampung dari Kolumpo, pasti aku akan mendapatkan opah dahulu. Aku ni sangat manja dengannya. Jadi bila waktu malam, aku mahu tidur di sebelah opah dan mengharapkan esok paginya opah akan mengejutkan aku untuk sama-sama naik motor dan membeli nasi lemak di Kedai Cik Mon (semestinya aku dapat ekstra), atau mengepau opah aiskrim malaysia di kedai Tok Alang. Ah, good old days good old memories.

....................................................

Esoknya, bila aku, mak dan adik yang dah keluar dari hospital sedang bersiap-siap membentang toto dekat ruang tamu di rumah kami untuk tidur, tiba-tiba mak buka cerita yang Opah Andak kena kacau dengan hantu tangan buruk, Katanya, kejadian itu berlaku betul-betul masa kampung kami tengah blackout semalam.

'Masa tu Opah Andak tak dapat tidur. Jadi dia pun main lah Candy Crush. Mula-mula dia dengar ada bunyi macam ada benda terlanggar dekat luar rumah. Tiba-tiba Opah Andak nampak ada tangan buruk keluar dari tingkap biliknya yang tak bertutup. Nak menjerit suara tak keluar. Dia pun terus selubung diri dengan selimut sebab takut'

Macam tu lah apa yang mak aku cerita.Yang pastinya, 2 malam berturut-turut aku tak berani pergi kencing waktu malam lepas dengar cerita tu.

Gila gila...

Wednesday 6 July 2016

Kapsul Masa yang Terus Terkubur

Kita bertujuh mewakili sudut pandang dan pemikiran yang berbeza. Kita jua punya pemahaman yang berlainan dalam beberapa perkara. Tapi itu bukan sebab yang menjurangkan kau, aku, dia atau kita semua. Aku anggap kalian sebagai sahabat paling sejati. Dan prinsip ini pernah ku janji pada diri akan ku pegang sampai mati. 

Itu dulu.

Ingat tak? Di depan varsiti kita ukir bintang yang tak bergantung di langit. Padanya kita serahkan segala rasa dan harapan. Segala memori indah dan kenangan. Laksana kapsul masa yang perlu ditanam dan menunggu masa untuk dicari dan dibuka semula. Lalu kita mematri sebuah janji. Memahat taat setia sebagai sahabat yang akan terus diperkukuh dan dierat kuat. Moga perkenalan ini kekal sepanjang hayat.

Itu dulu. Ketika kita masih naif dengan rencah hidup.

Bintang kita mungkin sudah pudar dan takkan bersinar lagi. Kapsul masa akan terus bersemadi dalam pusara egois. Takkan dicari, digali dan dibuka. Dibiar mereput dan dilupakan.

Apa-apa pun. Terima kasih sahabat, Terima kasih kawan. Moga yang indah-indah sahaja terjelma buat kalian.







Saturday 2 July 2016

Hari Terakhir Persekolahan

Petang itu cuaca redup manja. Sesekali angin lembut menyapa. Panasnya tidaklah membahang. Rugi benar jika petang itu dibiar sahaja berlalu dalam bilik.

Dengan berbekalkan telefon pintar yang kurang bijak buatan negara belah Timur, saya bergegas turun ke bawah blok aspura. Sleng mungkin di biliknya sedang tidur. Aizat saya tak tahu ke mana dia pergi. Matlin and the gang dah terlepas ke Taiping bersama Cikgu Zul. Baki budak akaun yang lain saya tak pasti. Di depan bilik kaunseling menarik wifi bilik guru barangkali.

Saya berjalan menuju ke Dewan Besar sambil bersiul gembira. Ketika pelajar biologi sedang mengerah otak di dalam dewan, kami pelajar akaun sudah selesai menduduki peperiksaan SPM semalam. Dengan erti kata lain, kami habis SPM sehari awal dan bolehlah bersenang-lenang ketika prep malam. Lain pula ceritanya bagi pelajar biologi yang masih perlu membuka buku mengulang kaji semula segala ilmu. Ah. Indah betul!

Saya menaiki tangga untuk ke tingkat atas Dewan Besar. Langkah terus dihalakan ke gymnasium yang asalnya merupakan stor sebelum diubah menjadi bilik caklempong. Pernah tersebar cerita dikalangan penghuni asrama bahawa terdapatnya aktiviti paranormal dalam bilik itu (caklempong tersebut berbunyi setiap malam ya tuan-tuan!). Bilik tersebut akhirnya dijadikan gymnasium dan alatan caklempong dipindahkan.

‘La kat sini rupanya korang. Aku ingatkan korang main wifi’

Pojoe memandang saya tersengih sambil memegang kamera. Begitu juga Shamil yang turut memegang bukan satu bukan dua, tetapi tiga biji kamera. Saya segera mengambil tempat di sisi Pojoe. Tujuan kami hanya satu, iaitu merakam dan menangkap sebanyak mungkin gambar detik-detik akhir SPM.

Dari bilik tersebut, terdapat 3 buah lubang bersaiz segi 4 sederhana besar yang membolehkan kami meninjau keadaan ruang peperiksaan di bawah sana dengan jelas. Dari atas, saya dapat perhatikan Amalia sudah berdoa setelah skrip jawapan ditutup dan diletakkan di bucu meja sebelah kanan. Begitu juga Shahrul dan Zarul yang melakukan perkara sama. Menadah rahmat Tuhan disaat-saat akhir sebelum peperiksaan ditamatkan. Ada yang kelihatan sudah tak tahu hendak buat apa dan ada juga yang semacam sudah mati akal.

Momen-momen ini saya rakam jangan biar terlepas. Begitu juga Pojoe yang katanya disuruh oleh rakan sebilik untuk bersedia menjadi jurugambar tak berbayar pada hari tersebut. Sedang giat kami menangkap gambar dan merakam video, ketua pengawas peperiksaan separuh umur itu bangun dari tempat duduknya lalu menuju kearah rostrum.

Setiap langkah kakinya membuat jantung berdegup kencang. Saya dapat rasakan satu debaran yang menggigit tulang walaupun saya tidaklah berada di bawah sana. Mikrofon dicapai dan apabila “peperiksaan sudah tamat” diucapkan, maka satu keterujaan yang membuak-buak bagai gunung berapi mahu memuntahkan laharnya menjelma dengan begitu pantas namun terpaksa ditahan sementara dicelah-celah kerongkong. Pengawas peperiksaan segera memungut setiap skrip jawapan biologi sehingga tiada satu pun yang tertinggal. 

'Anda boleh bersurai. Tahniah!'

Sebaik sahaja selesai segala urusan
, maka gamatlah seisi dewan. Seorang dua kawan saya yang seperti kutu mati akal sejak tadi pun bersorak gembira. Ada yang melakukan sujud syukur. Ada yang berpelukan dalam tangisan kerana sedar bahawa kami takkan bersama lagi pada tahun hadapan. Ada juga yang mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan guru-guru pengawas yang selama sebulan menjaga peperiksaan dan melayan setiap kerenah kami.

Saya segera turun kebawah, ingin bersama-sama meraikan hari yang begitu mengujakan ini. Pengetua dan guru-guru biologi pun ada di foyer dewan. Barangkali ingin turut serta bersama kami yang ketika itu sudah mula menghela nafas kedewasaan. Walaupun kami sedar beberapa bulan kemudian, dewasa ini sangatlah tak cool.

Saya cuba mengingati detik-detik ini. Menangkap gelak ketawa dan juga tangisan. Dewan Besar menjadi hiruk pikuk sekejap. Ada yang membalingkan kotak pensel dan kalkulator ke udara laksana graduan mencampakkan mortar boardnya tanda sesi pembelajaran di sekolah sudah selesai. Saya cuba bayangkan semula bagaimana wajah tak ikhlas Pojoe yang terpaksa menangkap gambar kami semua. Sungguh saya tersenyum melihat gelagat mereka. Ah, indahnya hari akhir persekolahan. 

Kepala saya sakit. Alarm telefon tak henti-henti berbunyi memecahkan suasana. Saya buka mata perlahan-lahan. Keadaan sekeliling yang mulanya kabur semakin lama semakin jelas kelihatan. Saya segera mencapai telefon untuk menutup alarm. Pukul 6 pagi.

Mimpi rupanya tadi. Saya bingkas bangun untuk bersiap-siap sambil tersedar. Sedar bahawa kedewasaan ini masih lagi tidak cool.

Dan sesi pembelajaran dalam kehidupan takkan pernah selesai.

Takkan

Perbualan Yang Bermakna

Satu hari Reyza dan Raja berjalan bersama-sama dari blok akademik terus ke aspura usai prep petang. Ketika mereka melewati Dewan Selera, Raja membuka topik perbualan mengenai filem Elizabeth yang dia tonton di Diva masa cuti yang lalu.

Reyza juga tonton filem itu. Ada 2 siri. Yang pertama Elizabeth dan siri berikutnya Elizabeth: The Golden Age lakonan Cate Blanchett sebagai Queen Elizabeth I dan Geoffrey Rush sebagai Francis Walsingham (Reyza cuma cam pakcik ni sahaja sebab dia berlakon dalam Pirate of the Carribean sebagai Capt Barbossa). Mereka tidaklah berbincang pasal hal-hal lakonan, perkembangan plot atau apa sahaja berkaitan sinematografi memandangkan mereka bukanlah pengkritik filem. Mereka cuma mengkritik senior dan junior yang bangang. Dan menganjing rakan-rakan. Itu sahaja.

Dalam filem ini, Walsingham ditunjukkan sebagai penasihat penting yang akan cuba menghapuskan segala ancaman dan musuh yang bakal menghancurkan takhta ratu dan negara England. Walaupun filem ini sekadar fiksyen sejarah yakni tak semua faktanya betul dan tepat, mereka cuba mengambil ibrah.

'Kau tau bukan betapa pentingnya seorang penasihat dalam memberikan pendapat, teguran dan solusi. Dia perlu setia walaupun mungkin dia tak sependapat dengan ketuanya. Dia juga perlu rajin mengenalpasti dan menganalisa sebarang bentuk masalah yang mungkin berlaku di kemudian hari. Dan yang paling penting, dia harus meletakkan kepentingan tugasnya melebihi kepentingan diri.'

Raja terus mendengar dengan penuh teliti.

'Macam kita. Kau ialah Ketua Pelajar dan aku pula penasihat merangkap kawan baik kau. Walaupun aku tiada jawatan dalam kabinet Majlis Pelajar kau, namun itu bukanlah justifikasi yang aku tak boleh berikan nasihat terbaik. Dan sebagai seorang kawan kau yang paling rapat, aku akan cuba bantu kau sebaik mungkin. Macam Walsingham dengan Elizabeth.....'

Mereka sudah sampai di hadapan aspura. Raja memandang Reyza sambil tersenyum sebelum memeluknya erat tanda persaudaraan dan persahabatan sejati.

'Kau lah kawan aku dunia akhirat! Terima kasih Reyza.'

Esoknya, Reyza mengutuk dan menganjing Raja ketika ketiaadaannya di kelas.