Sunday, 1 June 2025

Malam Itu Sudah Berlalu

16 Mac 2020 11:00 PM


Cuma ada saya, Hanan, Najib, Sharena, Najihah, Asri dan Asilah sahaja di dalam kelas pada waktu itu. Yang lain sudah pulang sama ada ke rumah sewa mahupun koleh kediaman. Memang sudah menjadi lumrah buat kami pelajar tahun akhir untuk stay back di kelas jika ada tugasan pensyarah yang perlu disiapkan. Kadang-kadang boleh beranjak hingga ke lewat malam. Pernah sekali kami kekal di kelas hingga ke jam 7 pagi, bersengkang mata menyiapkan kerja. Ada ketika kami terlampau penat sampaikan ada yang terlelap di kubikal masing-masing ataupun tidur beralaskan karpet nipis yang kami bentang di ruang belakang kelas. Saya tidak dapat tidur walaupun tubuh sudah tidak larat untuk membaca ataupun menaip. Jadi saya ambil keputusan untuk ke rooftoop. Menikmati ketenangan malam Shah Alam yang masih dilimpahi cahaya walaupun hampir semua warganya sudah diulit mimpi. Ketika itu saya mula bersoal; adakah ini berbaloi? Untuk mengorbankan waktu tidur demi tugasan? Tidak terus pulang ke rumah sewa dan menghenyakkan tubuh ke tilam lembut ketika rakan sebilik sudah tentunya telah enak berselimut? Jika inilah gambaran sebenar kedewasaan, untuk bergelumang dengan pekerjaan dan berpencak dengan dunia luar, saya kata kepada diri ketika itu; 'aku tak bersedia lagi untuk dewasa...'


02 Jun 2025 5:00 AM


Fast forward 5 tahun kemudian, saya sudah di persimpangan lewar 20-an. Sudah lelah bercumbu dengan kedewasaan yang tidaklah menghairahkan. Walaupun sudah tidak ada tugasan daripada pensyarah, namun pekerjaan saya sekarang ini menuntut saya untuk peka dengan deadline. Dan ya, deadline ini ialah sejenis makhluk yang tidak punya simpati. 


Selalunya saya tidak terus pulang ke rumah kerana perlu menyiapkan beberapa kerja. Ada ketika saya tidak mempunyai duit yang cukup walaupun hari gaji masih lambat. Nak meminta daripada keluarga hanya mengundang rasa malu sahaja. Jadi saya terpaksa berjimat dengan memasak dan membawa bekal. Sungguh, rutin ini sangat memenatkan tapi di satu sudut, ianya menaikkan lagi rasa hormat saya kepada para ibu dan komrad bujang di luar sana yang saban hari tanpa penat dan lelah mengurus hidup dan rumah tangga mereka sebaik mungkin. 


Ya, sedikit sebanyak persoalan saya di rooftop Fakulti Undang-Undang pada waktu malam 5 tahun lepas berkenaan kehidupan dewasa saya ini akhirnya terjawab. Adakah saya sudah bersedia menghadap semua ini? Mungkin persoalan tersebut sudah tidak relevan lagi memandangkan saya tetap jua meneruskan hidup. Masih bertahan dan cuba untuk kuat. Adakah saya suka dengan situasi saya sekarang ini? Oh sudah tentu tidak. Adakah hidup saya berantakan? Pun, tidak. Tapi saya tidak boleh katakan bahwa hidup saya sekarang ini stabil dan bahagia. Saya hanya terus mendayung ke hadapan. Terus bernafas, kerana braderr...hidup perlu diteruskan.


Adakah hidup saya lebih baik, stabil dan menggembirakan pada masa akan datang? Itu saya akan jawab 5 tahun lagi. 




Wednesday, 7 February 2018

Kisah Seekor Siput

Cukuplah kita namakan siput ini sebagai Dono. Sebab siput ini lahir di Scotland.Dono adalah seekor siput yang biasa-biasa sahaja. Dengan wajah yang tidak kacak, tubuh yang lembik dan cengkerang yang tidak menarik, Dono merasakan dirinya tidak istimewa.

'Bukan sekadar di Scotland, di seluruh pulau Britain pun belum tentu ada siput yang lebih hodoh daripadaku', ujar Dono sayu.

Tapi yang bagusnya Dono ni, walaupun dia serba serbi kekurangan, dia seekor yang optimis, terlampau optimis. Dia yakin yang dia akan menjadi siput yang terkenal. Seekor siput yang akan mengubah dunia ini.

'Hey kawan-kawan. Ingin ku katakan bahawa suatu hari nanti aku akan jadi terkenal'

'Hahahaha, kau hisap ganja ke Dono? Sudah-sudahlah tu pergilah tolong mak kau basuh kain', kata seekor siput taiko bernama Molek dengan loghat Scotish yang pekat. Beberapa ekor siput lain turut ketawa.

'Ketawa...ketawa lah kau sekuat hati. Suatu hari nanti aku akan mengubah dunia ini! Kau tengoklah'

'Dah dah lah tu Dono. Janganlah kau bermimpi di siang hari. Saudara-mara kita dijadikan makanan di Perancis. Kau mahu merepek disini pula? Sudahlah, pulanglah ke rumah. Buatlah sesuatu yang berguna'. Tyson seekor siput paling otai dalam komuniti siput disitu menyampuk. Dinyalakan sebatang rokok sebelum dihembuskan ke udara.

'Betul tu. Tak perlulah kau nak menyibuk untuk ubah dunia. Eropah baru sahaja pulih daripada perang. Perang yang dicetuskan oleh tangan-tangan manusia. Kita bangsa siput chill chill sahaja. Biarlah manusia sendiri yang uruskan'

Kata Mahon rakan baiknya. Dono hanya mencebikkan mukanya.

'Kalian sememangnya siput yang tidak berguna. Takpe, suatu hari nanti aku akan buktikan yang kata-kata kalian adalah salah!'

Dono segera meninggalkan kawan-kawan siputnya. Itulah kali terakhir mereka melihat Dono. Setelah itu Dono sudah tidak kelihatan lagi di kampung itu untuk bertahun-tahun lamanya. Semua siput tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada Dono. Sihatkah dia? Hidup lagikah dia? Atau, adakahdia sudah menjadi seekor fasis di Jerman? Mereka semua tidak tahu.

Hari itu, satu berita yang tidak disangka-sangka akhirnya tiba jua ke kampung itu. Suatu berita yang bakal menggemparkan seluruh komuniti siput. Dono akhirnya ditemui mati dalam keadaan yang menyayat hati. Komuniti siput di seluruh Scotland berkabung akan kematiannya. Mengenangkan suatu ketika dahulu pernah hidup seekor siput yang optimis dan percaya bahawasanya tiada apa yang tidak boleh diubah...dengan azam dan cita-cita!

Kematian Dono tidaklah sia-sia. Dia ditemui mati lemas di dalam sebuah botol gingerbeer. Botol tersebut dibeli di Kafe Wellmeadow bersama campuran ais krim. Lalu diberikan kepada seorang wanita bernama Donoghue. 

Dan selebihnya adalah sejarah.


Monday, 29 January 2018

Bercakap Dengan Syamsul FND

Aku berkenalan dengan Syamsul FND ketika sedang berlari daripada masalah di Tasik Seksyen 7. Ketika dada ini tercungap-cungap meminta nyawa dan rintik-rintik peluh membasahi baju dan melecakkan ketiak, tiba-tiba seorang lelaki yang aku kira sebaya denganku datang menyapa dari belakang.
'Salah teknik larian kau ni..'

'Err...kau siapa ek?'

'Nama aku Luqman bin Ahmad. Nama samaran Megad. Tapi kau boleh panggil aku Syamsul FND'

'Ok'

Aku mengajaknya untuk duduk di satu kerusi batu. Entah kenapa tiba-tiba aku boleh jadi peramah pula dengan stranger. Syamsul FND hanya mengangguk sebelum mempelawaku meminum sebotol coke sejuk yang dipegangnya sejak tadi.

'Nah. Mesti dahaga bukan'

'No thank you. Coke banyak gula. Tak sihat'

Aku menolak secara baik, sebelum tanganku mencapai sebungkus coklat Cadbury yang aku simpan dalam tote bag. Sudah cair. Syamsul FND hanya menggelengkan kepala.

Kami mengambil tempat di satu kerusi batu yang menghadap tasik. Kerusi tersebut agak tersorok dari pandangan orang. Memang sesuai dibuat port bersenggama. Aku pun tak perasan sejak bila kerusi tersebut ada disitu.  Mungkin baru diletakkan.

Sumbangan ikhlas Datuk Amir Ul Hakim 

'Sumbangan ikhlas tapi letak nama sendiri. Mendalah!'

Ujar Syamsul FND yang penuh emosi secara tiba-tiba sebelum kami duduk. Aku mengiakan saja. Sesak di dada masih belum hilang. Ketat rasanya.

'So, apasal kau berlari macam orang tak pedoman ni. Runner sejati tak berlari macam tu'

Amboi.

'Entahlah bro. Aku seboleh-bolehnya mahu berlari sampai aku tak sedar yang kakiku sudah tidak menjejak tanah. Aku berlari ke udara. Sampailah ke angkasa sebelum aku sesak nafas sebab takde oksigen, dan jatuh semula ke bumi sebagai komet. Terbakar...'

'Amboi kau ni. Barang apa kau pakai?'

Ketawa kami memecahkan suasana. Syamsul FND mula mencapai sekotak rokok seludup dari poket seluarnya sebelum menyalakan sebatang. Dia terbatuk-batuk laksana perokok sejati yang mahu memendekkan jangka hayat sebelum menghembuskan asap berkepul-kepul ke udara.




'Aku nak tanya kau something lah. Sebab kau ni nampak berilmu dan berpedoman'

'Haa..tanyalah. Ramai juga yng cakap aku macam tu.' Syamsul FND tersengih bangga.

'Kenapa manusia sering menuntut orang lain untuk menghargai pengorbanan yang dilakukannya, namun selalu lupa akan pengorbanan orang lain untuk dirinya?'

Asap rokok masih berkepul-kepul di udara.

'Lain macam persoalan kau ni', ujar Syamsul FND tenang. 'Inikah sebabnya kau berlari tanpa pedoman'

Bersambung.....








Thursday, 19 October 2017

Kehidupan Yang Baik - satu terjemahan

Ahli falsafah Denmark Soren Kierkegaard di dalam makalahnya Journals ada menyebut semasa umurnya 20 tahun lebih; ‘Saya mahukan kebenaran dimana saya boleh hidup dan mati untuknya.’
Soalan diatas membawa kepada satu konotasi yang penting untuk direnung oleh kita semua, Apakah nilai yang wajar dipegang dalam hidup? Nilai yang berbaloi untuk kita hidup dan mati untuknya.

Sememangnya soalan ini telah mencetuskan motivasi kepada setiap ahli falsafah untuk mendalami bekenaan makna kehidupan. Berkenaan masalah dan dilema di dalam memilih pilihan; dimana sebahagian daripadanya membuatkan kehidupan bakal kita terisi dan bahagia, manakala satu lagi pilihan akan menyumbang kepada kecelakaan hidup.

Mungkin dilema Socrates pada 399 s.m boleh disingkap semula demi menekuni perkara diatas. Socrates, seorang ahli falsafah Yunani, sedang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sebuah penjara ketika usianya melangkaui 70 tahun. Ketika itu beliau sudah mempunyai reputasi sebagai ahli falsafah yang bijaksana, kritis dan gemar mempersoalkan apa sahaja. Lantaran itulah Socrates dihumban kedalam penjara dan dihukum mati dengan meminum racun diatas tuduhan merosakkan pemikiran anak-anak muda Athens.

Di dalam penjara, peluang untuk beliau meloloskan diri dari penjara sememangnya terbuka luas. Apatah lagi sudah terang lagi bersuluh bahawa kebenaran sememangnya berpihak kepada dirinya. Beliau tidak mendapat keadilan yang sewajarnya daripada mahkamah. (Di dalam ucapannya kepada para hakim, beliau mencadangkan pula untuk diberikan pencen berbanding hukuman mati keatasnya.)

Ketika inilah Socrates memilih satu pilihan yang bakal mengundang renungan ahli-ahli falsafah selepasnya – untuk menolak tawaran melarikan diri dari penjara dan menghadapi hukuman mati tersebut sebagai seorang rakyat yang baik dan sejati (walaupun tidak mendapat keadilan oleh sistem negaranya sendiri). Beliau boleh sahaja meloloskan diri dari penjara dan meninggalkan Athens. Serta meneruskan sisa-sisa hidup dengan kepuasan. Namun, Socrates bukanlah begitu. Beliau memilih untuk dihukum diatas dua sebab – kehormatan dan kenegaraan. Baginya, kepatuhan dan keperluan sebagai seorang rakyat untuk menuruti undang-undang adalah lebih utama berbanding kehidupannya sendiri. Itulah nilai yang dipegang oleh Socrates sehingga akhir hayatnya.

Jika kita berada di dalam sepatu Socrates, apakah pilihan yang bakal kita ambil?


Friday, 21 July 2017

Sepetang di Prep Petang

Imjan Yassir nampak meja Mat Lin menjadi port study. Kelihatan Bai sedang tekun menekan-nekan kalkulator sambil mukanya berkerut. Shazana pula sedang siapkan modul kimia. Ah sudah, rajin pula diorang ni.

Sebagai seorang yang prihatin, Imjan Yassir melihat situasi ini sebagai sesuatu yang tidak sihat. Classmate lain seperti Qis, Ain dan Hafiz sedang berborak sakan. Aizat tengah nenyak tidur berbantalkan lengan. Aiman Farhan selalunya hilang pada waktu-waktu macam ni. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh para pelajar ketika waktu prep petang; berehat dan bersosial. Mana boleh study. Bukannya masuk pun.

Ini tak boleh jadi. Imjan Yassir rasa gusar apabila kalkulator terus ditekan, modul terus diselak, equation diselesaikan dan imbangan duga diseimbangkan. Mat Lin dan kawan-kawan harus diselamatkan. Mereka perlu bersosial pada petang tersebut. Cukuplah otak terus menerus disumbat ketika waktu akademik. Tak perlulah study lagi. Insecure benar Imjan Yassir melihat mereka.

'Weih nak join'

Dengan bermodalkan buku modul kimia, Imjan Yassir menarik kerusi dan duduk di tepi Fifi. Modul dibelek laksana seorang pelajar rajin yang komited dengan pelajaran. Tapi meh, Imjan Yassir ni hampeh je sebenarnya. Selakan terhenti di muka surat electrolysis. Ah cantik.

'Weih Mat Lin, hang ajar aku jap bab ni"

'Oh yang ni. Meh buku kau'

Sambil menunggu Mat Lin menulis sesuatu, Imjan Yassir lihat Fifi makin berkerut menyiapkan homework (asramawork?) akaunnya. 

'Weih korang nak dengar satu cerita tak?'

Maka tertewaslah mereka lantaran asyik mendengar kisah-kisah mengarut yang keluar dari lidah Imjan Yassir. Kerana asyik berborak, terlupah Bai akan soalan-soalan add math cikgu Mahasan yang dia sepatutnya study, tak lengkaplah modul kimia Shazana dan tergantunglah pengiraan akaun Fifi. Mat Lin masih kuat study pada mulanya namun siapalah yang mampu bertahan daripada mendengar cerita Imjan Yassir? Akhirnya Mat Lin tewas juga. Sampailah habis prep barulah mereka seolah-olah tersedar akan realiti sebenar.

'Weih tak guna kau. Tak siap kerja aku', ujar Bai penuh kekesalan.

'Hehehehe sowi'

Dan begitulah cara bagaimana Imjan Yassir menghilangkan rasa bosan ketika prep petang. Mengacau geng Mat Lin study. 



*Kisah ini aku tributkan kepada Azlin Syafinaz @ Mat Lin yang selamat terbang dan sampai ke bumi Orang Maori dan Burung Kiwi. Terima kasih untuk segala pertolongan dan maaf, sebab selalu kacau korang nak study time prep petang mahupun malam. Kadang-kadang kalau cikgu tak masuk pun still rasa nak kacau korang. Ngeh ngeh ngeh....




Thursday, 1 June 2017

Kisah Teladan Yang Menggamit Kenangan

Imjan Yassir (bukan nama sebenar) merupakan seorang budak berhingus yang lurus. Dilahirkan dalam sebuah keluarga asia tipikal, kitaran hidup Imjan Yassir hanya berkisar tentang belajar dan belajar. Pagi hari Imjan Yassir akan ke Kafa, petang ke sekolah rendah dan malam usai menonton Buletin Utama, dia akan masuk belajar. Tepat jam 11 Imjan Yassir akan masuk tidur. 

Begitulah rutin harian Imjan Yassir yang sudah disusun dengan begitu teliti oleh ibunya. Ibu Imjan Yassir hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya dan sebab itulah Imjan Yassir agak dikawal. Dia jarang keluar rumah untuk bermain. Masanya lebih banyak digunakan untuk belajar dan membuat kerja sekolah. Hujung minggu pun begitu. Mungkin sebab itulah Imjan Yassir tak ramai kawan. Kawan-kawan di sekolah pula kebanyakannya fake.

Seperti kanak-kanak asia yang lain, Imjan Yassir dituntut untuk mendapat nombor 1 dalam setiap peperiksaan. Kadang kala Imjan Yassir berasa tertekan juga untuk memenuhi harapan ini, namun lama kelamaan dia sudah biasa. Akhirnya, setiap kali peperiksaan akhir tahun Imjan Yassir pasti akan mendapat nombor 1. Kecuali satu tahun tu. Darjah 5 rasanya. Dia hanya dapat nombor 2. Sedih jugalah Imjan Yassir sebab kalah dengan Maria, anak emas cikgu kelas. Kalau mengikut gosip-gosip liar, Imjan Yassir dikatakan telah disabotaj oleh cikgu kelas demi menaikkan Maria. Wallahualam. Imjan Yassir tidak melayan gosip-gosip sebegini.

Imjan Yassir sering merasakan bahawa dirinya tidak disukai oleh cikgu-cikgu di sekolah. Entah apa sebabnya dia pun tak tahu. Bukanlah semua tetapi ada segelintir cikgu yang seolah-olah bersikap dingin dan sering berkonfrontasi dengannya. Nasib baik budak ni lurus, jadi Imjan Yassir takdelah ambil kisah sangat.

Sampailah satu masa bila Imjan Yassir menperoleh semula markah serta kertas peperiksaan pertengahan tahun matematiknya. Masa tu dia darjah 4. Kertas matematik budak ini spesial sedikit tuan-tuan. Bukan sebab A yang berjaya diperolehi, tetapi tulisan "T_ _ _ L" dengan dakwat merah jelas kelihatan di muka hadapan. Ini semua gara-gara Imjan Yassir terlupa menulis namanya sebelum menjawab ujian. Dia mahu kejar masa sebab dia pernah tak sempat siap jawab soalan sewaktu ketika dahulu. Dia kan perlu menanggung harapan yang tinggi untuk mendapat A dan nombor 1. Mungkin sebab itulah dia terlupa untuk menulis nama sehinggakan cikgu matematiknya tanpa segan silu me"T _ _ _ L"kan kertasnya.

Dan setiap reasonable man pun akan tahu 3 tempat kosong itu sebenarnya adalah huruf-huruf yang membentuk perkataan TOYOL mahupun TOLOL. Takkan jadi TUKUL sebab pertama, orang takkan guna alatan bengkel Kemahiran Hidup sebagai kata maki. Kedua, cikgu matematiknya bukanlah peminat Widji ThUKUL. Jadah apanya nak maki orang guna nama sasterawan.

Ibu Imjan Yassir marah sangat apabila mendapat tahu tentang hal ini. Laksana ibu-ibu Asia yang lain. leteran demi leteran diberikan kepada Imjan Yassir sepanjang perjalanan dari sekolah ke rumah. Oh ya lupa nak beritahu, ibu Imjan Yassir ini juga merupakan salah seorang cikgu di sekolahnya. Kiranya Imjan Yassir ni anak cikgu lah.

Tak cukup dengan leteran ibu, bapa Imjan Yassir pula sudah menunggu di rumah. Bukan main angin si bapa bila mendapat tahu anaknya di"T_ _ _ L"kan. Kena marah lagilah nampaknya budak ni. Bapa Imjan Yassir sebenarnya takdelah banyak cakap sangat tapi kalau dia mengamuk, si ibu yang garang pun akan kecut.

"Kalau akulah yang tanda kertas kau, aku akan bagi kosong!"

Begitulah antara intipati leteran si bapa kepada anaknya. Imjan Yassir tak henti-henti menangis. Dia rasa tak berguna. Dia rasa dirinya sudah gagal sebagai manusia. Mungkin usaha yang diterjemahkan melalui markah A masih lagi tak cukup. Dia harus jadi lebih sempurna lagi. Dia perlu jadi ubermensch. Sejak hari itu, dia sentiasa berhati-hati dalam membuat semua perkara dalam hidup termasuklah untuk tidak lupa menulis namanya dalam setiap kali peperiksaan. Bukan setakat nama, tarikh lahir dan nombor surat beranak pun dia tulis sekali.

Dan sejak itu jugalah sehingga dia membesar, dia mula mempersoalkan peristiwa itu. Mempersoalkan rasional cikgu matematiknya. Persoalkan argumen-argumen dalam leteran bapanya dahulu. Bukan main banyak sebenarnya intipati argumen bapanya yang tidaklah begitu logik. Dia rasa pelik, kenapa sampai begitu sekali dia dimarahi? Bukankah tugasnya adalah untuk memberikan A dan nombor satu? Kalau untuk mendidik dan beringat, ya dia boleh terima. Tapi takkanlah sampai macam tu? Dia hanya darjah 4, lurus bendul pula. Cukuplah sekadar memberikan nasihat. Mintalah untuk tidak diulang lagi kesilapan. Dia bukannya nakal dan liar pun. Imjan Yassir makan nasihat (selain makan banyak). Jadi tak perlulah nak marah atau angin ke apa.

Tapi luahan-luahan ini Imjan Yassir hanya mampu telan kelat dan simpan dalam hati sahaja. Dia kan budak yang baik. Tak lawan cakap orang tua. Dijadikan role model oleh orang lain pula (serta sumber hasad). Dia hanya mampu melupakan sahaja peristiwa itu dan maju kehadapan.

Jadi Imjan Yassir pun meneruskan kehidupan seperti biasa. Bernafas. Makan. Belajar. Tidur. Akhirnya, Imjan Yassir membesar dengan baik dan jayanya. Dia bercita-cita nak masuk politik. Katanya dia nak jadi Perdana Menteri. Alhamdulillah.

Dia juga sudah tidak berdendam dengan cikgu matematiknya.

Tammat











Wednesday, 1 March 2017

Adventura Saya Ke Kedai Makan

Ini merupakan kisah pengembaraan saya yang penuh mengujakan. Nikmatilah.

Suatu hari saya bangun pagi. Dalam pukul 11 gitu. Apa? Kau cakap saya tak bangun subuh? Hello, aku bangun subuh kot. Mak aku kejutkan. Bukan macam kau, dahlah pemalas bangun subuh pun taknak. Tau nak mengumpat je. Ke nerakalah kau!!!

Okay eghmm eghmm (bunyi batuk). Dimana kita tadi tuan-tuan? Oh ya, pasal saya bangun pagi. Baiklah sebelum saya sambung kisah ini, kalau tuan-tuan nak merokok dulu ke hisaplah. Saya takde lighter. Tuan-tuan boleh guna mancis ni *sambil hulur kotak mancis. Maaf, saya tak merokok ya. Mak saya tak bagi.

Ingat, hisap rokok je. Jangan benda lain. (Maaf cubaan humor nakal untuk membuat anda tergelak)

Lepas saya bangun saya pergi dapur. Saya buka kuali. Hampa, kuali kosong. Mak saya mungkin tak sempat nak masak sebelum dia dan adik saya ke sekolah. Nampaknya terpaksalah saya memulakan pengembaraan yang penuh mencabar ini. Saya mandi dulu. Lepastu saya pakai baju. Ya, sebelum pakai baju mestilah saya keringkan badan dulu. Takkan tu pun nak bagi tahu, bongok.

Saya pakai wangian bunga ros. Pastu saya buka wallet. Ada rama-rama terbang. Saya check. Alhamdulillah masih ada lagi RM580 hasil simpanan duit PTPTN. Asalnya saya nak gunakan duit tu untuk belanja kahwin. Saya nak kahwin dekat hotel mewah. Bakal mak mertua saya mesti happy. Bapa mertua saya tak pasti. Maybe tengah sedap makan nasi minyak.

Saya ambil seratus ringgit dan simpan dalam poket. Otak tengah berfikir, nak makan dekat mana ya? Ini merupakan soalan paling susah sebenarnya bagi anak muda wawasan Transformasi Nasional 50 macam saya. Masa tu saya ada 3 opsyen.

1- Ke Coffee House fancy makan benda tak sedap. Yang sedap cuma port nak ambil gambar masuk ig je lah kot.

2- Fast food

3- Warung masakan Melayu

Maka saya memilih opsyen keempat, iaitu makan nasi vanggey Kedai Jan. Untuk pengetahuan hadirin sekalian, nasi vanggey dia punyalah sedap nak mampos. Selalunya saya layan diri, Ambil nasi panas. Letak kuah kari ikan dia yang kaw pastu campurkan kari pekat. Ambil ayam berempah merah bahagian thigh dan letak rempah dia banyak-banyak. Kalau ada cebisan kulit ayam pun saya letak. Dan terakhir, sambal kelapa dia. Fuhh.


Okay, air extra juss anggur susu saya dah sampai. Korang taknak makan ke? Kalau nak pi makan. Bayar asing-asing, kecuali kalau kau makwe.