Wednesday 7 February 2018

Kisah Seekor Siput

Cukuplah kita namakan siput ini sebagai Dono. Sebab siput ini lahir di Scotland.Dono adalah seekor siput yang biasa-biasa sahaja. Dengan wajah yang tidak kacak, tubuh yang lembik dan cengkerang yang tidak menarik, Dono merasakan dirinya tidak istimewa.

'Bukan sekadar di Scotland, di seluruh pulau Britain pun belum tentu ada siput yang lebih hodoh daripadaku', ujar Dono sayu.

Tapi yang bagusnya Dono ni, walaupun dia serba serbi kekurangan, dia seekor yang optimis, terlampau optimis. Dia yakin yang dia akan menjadi siput yang terkenal. Seekor siput yang akan mengubah dunia ini.

'Hey kawan-kawan. Ingin ku katakan bahawa suatu hari nanti aku akan jadi terkenal'

'Hahahaha, kau hisap ganja ke Dono? Sudah-sudahlah tu pergilah tolong mak kau basuh kain', kata seekor siput taiko bernama Molek dengan loghat Scotish yang pekat. Beberapa ekor siput lain turut ketawa.

'Ketawa...ketawa lah kau sekuat hati. Suatu hari nanti aku akan mengubah dunia ini! Kau tengoklah'

'Dah dah lah tu Dono. Janganlah kau bermimpi di siang hari. Saudara-mara kita dijadikan makanan di Perancis. Kau mahu merepek disini pula? Sudahlah, pulanglah ke rumah. Buatlah sesuatu yang berguna'. Tyson seekor siput paling otai dalam komuniti siput disitu menyampuk. Dinyalakan sebatang rokok sebelum dihembuskan ke udara.

'Betul tu. Tak perlulah kau nak menyibuk untuk ubah dunia. Eropah baru sahaja pulih daripada perang. Perang yang dicetuskan oleh tangan-tangan manusia. Kita bangsa siput chill chill sahaja. Biarlah manusia sendiri yang uruskan'

Kata Mahon rakan baiknya. Dono hanya mencebikkan mukanya.

'Kalian sememangnya siput yang tidak berguna. Takpe, suatu hari nanti aku akan buktikan yang kata-kata kalian adalah salah!'

Dono segera meninggalkan kawan-kawan siputnya. Itulah kali terakhir mereka melihat Dono. Setelah itu Dono sudah tidak kelihatan lagi di kampung itu untuk bertahun-tahun lamanya. Semua siput tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada Dono. Sihatkah dia? Hidup lagikah dia? Atau, adakahdia sudah menjadi seekor fasis di Jerman? Mereka semua tidak tahu.

Hari itu, satu berita yang tidak disangka-sangka akhirnya tiba jua ke kampung itu. Suatu berita yang bakal menggemparkan seluruh komuniti siput. Dono akhirnya ditemui mati dalam keadaan yang menyayat hati. Komuniti siput di seluruh Scotland berkabung akan kematiannya. Mengenangkan suatu ketika dahulu pernah hidup seekor siput yang optimis dan percaya bahawasanya tiada apa yang tidak boleh diubah...dengan azam dan cita-cita!

Kematian Dono tidaklah sia-sia. Dia ditemui mati lemas di dalam sebuah botol gingerbeer. Botol tersebut dibeli di Kafe Wellmeadow bersama campuran ais krim. Lalu diberikan kepada seorang wanita bernama Donoghue. 

Dan selebihnya adalah sejarah.


2 comments:

  1. McDono, the unsong hero of the legal realm. A young snail lad sacrificed himself for the greater good.
    RIP Sweet prince

    ReplyDelete
  2. ▷ Casino site review for 2021 - Lucky Club
    Are you looking for a way to play luckyclub.live at a gambling site? Visit LuckyClub. Live Casino reviews and real casino games for your chance to win real  Rating: 3.9 · ‎Review by LuckyClub.me

    ReplyDelete