Saturday 2 July 2016

Hari Terakhir Persekolahan

Petang itu cuaca redup manja. Sesekali angin lembut menyapa. Panasnya tidaklah membahang. Rugi benar jika petang itu dibiar sahaja berlalu dalam bilik.

Dengan berbekalkan telefon pintar yang kurang bijak buatan negara belah Timur, saya bergegas turun ke bawah blok aspura. Sleng mungkin di biliknya sedang tidur. Aizat saya tak tahu ke mana dia pergi. Matlin and the gang dah terlepas ke Taiping bersama Cikgu Zul. Baki budak akaun yang lain saya tak pasti. Di depan bilik kaunseling menarik wifi bilik guru barangkali.

Saya berjalan menuju ke Dewan Besar sambil bersiul gembira. Ketika pelajar biologi sedang mengerah otak di dalam dewan, kami pelajar akaun sudah selesai menduduki peperiksaan SPM semalam. Dengan erti kata lain, kami habis SPM sehari awal dan bolehlah bersenang-lenang ketika prep malam. Lain pula ceritanya bagi pelajar biologi yang masih perlu membuka buku mengulang kaji semula segala ilmu. Ah. Indah betul!

Saya menaiki tangga untuk ke tingkat atas Dewan Besar. Langkah terus dihalakan ke gymnasium yang asalnya merupakan stor sebelum diubah menjadi bilik caklempong. Pernah tersebar cerita dikalangan penghuni asrama bahawa terdapatnya aktiviti paranormal dalam bilik itu (caklempong tersebut berbunyi setiap malam ya tuan-tuan!). Bilik tersebut akhirnya dijadikan gymnasium dan alatan caklempong dipindahkan.

‘La kat sini rupanya korang. Aku ingatkan korang main wifi’

Pojoe memandang saya tersengih sambil memegang kamera. Begitu juga Shamil yang turut memegang bukan satu bukan dua, tetapi tiga biji kamera. Saya segera mengambil tempat di sisi Pojoe. Tujuan kami hanya satu, iaitu merakam dan menangkap sebanyak mungkin gambar detik-detik akhir SPM.

Dari bilik tersebut, terdapat 3 buah lubang bersaiz segi 4 sederhana besar yang membolehkan kami meninjau keadaan ruang peperiksaan di bawah sana dengan jelas. Dari atas, saya dapat perhatikan Amalia sudah berdoa setelah skrip jawapan ditutup dan diletakkan di bucu meja sebelah kanan. Begitu juga Shahrul dan Zarul yang melakukan perkara sama. Menadah rahmat Tuhan disaat-saat akhir sebelum peperiksaan ditamatkan. Ada yang kelihatan sudah tak tahu hendak buat apa dan ada juga yang semacam sudah mati akal.

Momen-momen ini saya rakam jangan biar terlepas. Begitu juga Pojoe yang katanya disuruh oleh rakan sebilik untuk bersedia menjadi jurugambar tak berbayar pada hari tersebut. Sedang giat kami menangkap gambar dan merakam video, ketua pengawas peperiksaan separuh umur itu bangun dari tempat duduknya lalu menuju kearah rostrum.

Setiap langkah kakinya membuat jantung berdegup kencang. Saya dapat rasakan satu debaran yang menggigit tulang walaupun saya tidaklah berada di bawah sana. Mikrofon dicapai dan apabila “peperiksaan sudah tamat” diucapkan, maka satu keterujaan yang membuak-buak bagai gunung berapi mahu memuntahkan laharnya menjelma dengan begitu pantas namun terpaksa ditahan sementara dicelah-celah kerongkong. Pengawas peperiksaan segera memungut setiap skrip jawapan biologi sehingga tiada satu pun yang tertinggal. 

'Anda boleh bersurai. Tahniah!'

Sebaik sahaja selesai segala urusan
, maka gamatlah seisi dewan. Seorang dua kawan saya yang seperti kutu mati akal sejak tadi pun bersorak gembira. Ada yang melakukan sujud syukur. Ada yang berpelukan dalam tangisan kerana sedar bahawa kami takkan bersama lagi pada tahun hadapan. Ada juga yang mengambil kesempatan bersalam-salaman dengan guru-guru pengawas yang selama sebulan menjaga peperiksaan dan melayan setiap kerenah kami.

Saya segera turun kebawah, ingin bersama-sama meraikan hari yang begitu mengujakan ini. Pengetua dan guru-guru biologi pun ada di foyer dewan. Barangkali ingin turut serta bersama kami yang ketika itu sudah mula menghela nafas kedewasaan. Walaupun kami sedar beberapa bulan kemudian, dewasa ini sangatlah tak cool.

Saya cuba mengingati detik-detik ini. Menangkap gelak ketawa dan juga tangisan. Dewan Besar menjadi hiruk pikuk sekejap. Ada yang membalingkan kotak pensel dan kalkulator ke udara laksana graduan mencampakkan mortar boardnya tanda sesi pembelajaran di sekolah sudah selesai. Saya cuba bayangkan semula bagaimana wajah tak ikhlas Pojoe yang terpaksa menangkap gambar kami semua. Sungguh saya tersenyum melihat gelagat mereka. Ah, indahnya hari akhir persekolahan. 

Kepala saya sakit. Alarm telefon tak henti-henti berbunyi memecahkan suasana. Saya buka mata perlahan-lahan. Keadaan sekeliling yang mulanya kabur semakin lama semakin jelas kelihatan. Saya segera mencapai telefon untuk menutup alarm. Pukul 6 pagi.

Mimpi rupanya tadi. Saya bingkas bangun untuk bersiap-siap sambil tersedar. Sedar bahawa kedewasaan ini masih lagi tidak cool.

Dan sesi pembelajaran dalam kehidupan takkan pernah selesai.

Takkan

No comments:

Post a Comment