Saturday 27 August 2016

Kisah Badar Yang Hanya Berspender

Badar atau Badan Dakwah dan Kerohanian di maktab aku adalah kesinambungan atau warisan daripada Islamic Student Council yang sudah meninggal beberapa tahun sebelum aku masuk ke sini.

Badan tersebut dihidupkan semula oleh Abang Eddie yang baru sahaja dilantik menjadi Exco Agama dalam BWP. Memang sudah menjadi impian beliau untuk tubuhkan sebuah badan kepimpinan bernuansa Islamik tetapi dengan nafas baharu. Maka Badar, sebuah nama yang common untuk badan keagamaan dan dakwah di setiap sekolah berasrama penuh, dilahirkan. 

Aku mungkin boleh berbangga dengan diri sendiri kerana menjadi antara founding fathers yang membentuk badan ini. Ketika itu aku dan beberapa pioneer members yang lain diminta untuk mempromosi seterusnya menjemput beberapa pelajar yang dipercayai mantap penghayatan dan amalan dalam keagamaannya untuk menyertai Badar. Akhirnya, lengkaplah penubuhan Badar dengan ahlinya yang seramai 15-20 orang kalau tak silap.

Jujur aku katakan bahawa tujuan aku masuk Badar ini bukanlah hendak berkhidmat sangat. Aku ini setan. Mana boleh setan menganggotai badan yang dianggap baik dan suci ni kan. Jadi aku menggunapakai konsep realpolitik yang aku baca dalam buku teks sejarah form apa entah. Aku cuba jadikan Badar sebagai platform untuk memajukan diri dalam kepimpinan dan pengurusan. Aku juga diberi peluang untuk berucap di hadapan semua pelajar di surau bagi mengisi slot tazkirah. 

Selain cubaan membuat lawak hambar yang tak jadi, aku rasa tak banyak perkara bermanfaat yang dikongsikan dalam tazkirah tersebut. Aku hanya bercerita tentang pengalaman diri yang mungkin boleh dijadikan motivasi (yang akhirnya aku rasa takde motivasi pun) serta beberapa fakta tentang sejarah. Walaupun bercakap tentang entah apa-apa, tapi aku berpegang kepada satu prinsip dimana kalau tak tahu tentang satu perkara, baik diam. Aku akan elakkan daripada bercakap tentang hukum fiqh dan hadis. Apatah lagi untuk membetulkan bacaan Al-quran orang lain. Aku sedar yang aku tak cukup autoriti kerana kurangnya ilmu tentang perkara-perkara tersebut. Sudahlah tak betul, mahu membetulkan orang pula. 

 Habis, kenapa kau masuk Badar kalau diri sendiri pun tak betul? Dan tak berniat pula hendak membetulkan orang menjadi lebih baik?

Sudah aku katakan di perenggan keempat diatas. Aku hanya jadikan Badar sebagai platform dan batu loncatan untuk majukan diri. Syukur kepada Tuhan, melalui slot tazkirah aku bolehlah menganggap diri ini sebagai orator yang baik. Jangan risau. Walaupun aku kurang terlibat dengan aktiviti berunsur dakwah, aku masih menjalankan beberapa tugas wajib yang harus dilaksanakan oleh anggota badan ini seperti mengejutkan subuh, azan dan sebagainya.  Aku kira ini pengalaman yang sangat berharga dan mahal nilainya.

Jadi apa yang boleh aku belajar dari Badar ini?

Badar di maktab aku adalah bukti bahawa impian liar seseorang yang mungkin dianggap mustahil boleh dicapai dengan keazaman yang kuat. Bunyinya cliche bukan? Aku dah lalui dan saksikan dengan mata sendiri. Abang Eddie yang merupakan antara sosok paling kontroversi semasa aku Form 1-2 dahulu akhirnya berjaya menjadi salah seorang reformis yang meletakkan tandanya dalam sejarah kepimpinan pelajar maktab. Beliau merupakan antara manusia yang sangat aku kagumi di mana jawatan Exco Agama yang tipikalnya hanya berlegar-legar di ruang solat, berjaya diluaskan fungsinya hingga menjadi sangat signifikan. Dan Badar adalah salah satu tandanya yang paling signifikan.

Badar juga sebenarnya mengajar aku untuk mengenal hipokrit. Soal hipokrit ni tak perlu  tengok orang lain. Diri sendiri boleh jadi contoh. Haha. 

Badar juga membuka mata aku untuk melihat sisi gelap seseorang. Seseorang yang selama ini kita anggap baik, sopan, alim atau apa sahaja positiviti yang kita sandarkan kepadanya. Seseorang yang kita akan jumpa di blok akademik, kantoi berdating dengan makwe atau pakwenya walaupun baru semalam dia bagi tazkirah pasal ikhtilat. Seseorang yang kita jumpa dok galak berspender di pantri sambil main telefon. Seseorang yang kita akan kata..."WTF teroks shiall depa ni".

Tapi tak semua macam tu. Ramai je ahli Badar yang aku kenal sangat baik dan alim. Mungkin disebabkan beban 'badan agama' yang ditanggung, mereka seringkali menjadi mangsa generalisasi para pelajar akibat nila yang setitik. Ya, aku akui bahawa aku juga sebahagian daripada nila tersebut :(.





No comments:

Post a Comment