Monday 15 August 2016

Kisah Usrah Di Pondok


Hari ini merupakan hari terakhir usrah mingguan yang dikelolakan oleh Badar. Aku sebagai naqib (baca: gila kuasa) kepada sebuah kumpulan usrah dibenarkan untuk membuat apa sahaja aktiviti di luar surau. Ada yang memilih untuk bermain bola tampar. Ada kumpulan yang hanya berjalan-jalan di bukit belakang Aspuri dan ada juga yang sekadar melepak santai di mana-mana pondok yang ada.

Sebagai seorang naqib kepada kumpulan usrah yang terdiri dikalangan rakan se-batch sendiri, adalah tidak wajar untuk aku melayan mereka seperti junior dengan mangadakan sukaneka atau apa. Jadi aku cadangkan yang kami hanya lepak santai sahaja sambil menikmati suasana pagi Ahad yang sangat menyamankan di MRSM Lenggong. Satu suasana yang takkan dirasai oleh mereka yang tak turun subuh berjemaah.

Gazebo di sebelah tapak morning call Aspura menjadi pilihan. Aku sebenarnya seram juga dengan tempat ini sebab masa aku form 1 dahulu, kawasan di sebelah gazebo yang hanya disempadani pagar masih berhutan tebal. Jadi suatu petang ketika aku, Wan dan Qhamar melepak di sini, kami dikejutkan dengan kelibat hitam yang laju bergerak di sebalik pokok. Kami gelarkannya hantu ninja.



Okaylah, selesai throwback, kami mengambil tempat  dan mula berbual kosong. Memang itu pun rancangan awal kami. Hanya melepak dan bersantai sahaja. Pian lah yang mula-mula sekali cadangkan untuk kami membuat sesuatu yang tak membosankan.

"Jom buat something. Main truth or dare ke apa ke...", ujar Pian sambil bersandar selesa pada tiang gazebo tersebut. Kami pun sepakat bersetuju. Bukan selalu Pian melontarkan idea bernas ni. Haha. (Sorry Pian gurau ).

Lalu diambil sebotol plastik yang entah mana kami kutip untuk dijadikan marker. Dipusing botol tersebut sampai berhenti. Muncungnya tepat kearah aku. Damn. 



"Truth or dare?", tanya Bella, atau Ika, atau Shera (?) Okay yang ni aku lupa.

"Truth", jawabku tenang. Ketenangan itu tidak lama apabila mereka bertanyakan tentang perempuan yang aku suka. Ambik kau. Sesi usrah menjadi sesi luahan cinta. Haha.

Selesai ber-confess, botol tersebut dipusing sekali lagi. Kali ni agak laju dan lama juga mahu berhenti. Akhirnya muncung botol berhenti betul-betul kearah Skem. 

Skem membetulkan cermin matanya. Memang cocok benar gelaran 'Skem' untuk dia. Sampaikan nama sebenarnya pun orang mudah lupa lantaran gelaran Skem yang sudah melekat kuat dalam diri dia.

"Truth or dare". Kali ni aku lupa siapa yang menanya. Aku kot.

"Err...dare", ujar Skem ragu-ragu. Aku lihat mata yang lain semua sudah bersinar mahu mendajalkan si Skem ini. Ada yang menyuruhnya panjat pokok di tepi gazebo ini dan membuat suara monyet. Ada juga yang meminta Skem agar pergi kearah dua orang junior perempuan di depan surau dan minta nombor telefon.



Skem berkeras tak mahu. Akhirnya, salah seorang dari kami meminta Skem approach tukang sapu yang sedang menyapu dedaun kering di tepi Aspura dan ucapkan terima kasih kepadanya sebab sekian lama tekun dengan kerjanya itu. Kali ini Skem ada keberanian. Dia berjalan perlahan-lahan kearah tukang sapu tersebut sebelum kembali kearah kami beberapa minit kemudian.

"Apa yang pakcik tu cakap?", tanya kami.

Belum sempat Skem membuka mulut, tukang sapu tadi sudah berada di tepi kami tanpa disedari sesiapa. Dengan senyum yang terukir, dia bingkas mengucapkan terima kasih kepada kami.

"Terima kasih nak. Selama ni takde siapa yang pandang dan hargai kerja pakcik. Anak-anak lah pelajar pertama sekali di sini yang hargai pakcik dan ucapkan terima kasih"

Kami semua terharu....dan rasa bersalah juga. Memang bukan ikhlas pun niat kami menyuruh Skem berbuat demikian. Hanya memenuhi task permainan True or Dare sahaja. Walau apa pun, kami tetap gembira dapat membuat kebaikan yang sekelumit itu walaupun secara tak sengaja.

Sesi usrah ditamatkan sebaik sahaja jam menunjukkan pukul 10 pagi. Botol tadi dibuang sebagai simbolik takkan ada lagi sesi usrah pada Ahad depan. Setelah memberikan ucapan ringkas, aku membenarkan mereka bersurai dan meneruskan agenda masing-masing. Yang perempuan mungkin mahu bersiap-siap untuk study sama ada di bilik atau blok akademik. Yang lelaki pula semestinya mahu menyambung tidur.

Aku tidak terus ke bilik tetapi mengambil langkah ke court tenis. Di sana masih terdapat lagi satu atau dua kumpulan usrah yang masih belum selesai. Saja je aku mahu menjenguk mereka.

Pagi itu, usrah kami berlangsung dengan begitu terurus sekali. Tidak seperti hari-hari biasa yang sentiasa kelam kabut. Tak cukup ahli lah...tak cukup naqib lah...takde bahan tazkirah lah. Namun pada pagi itu, kami sememangnya tak perlukan apa-apa bahan tazkirah sebagai panduan kerana suasana sekeliling sudah cukup memberikan kami ibrah bahawa dunia ini kecil sahaja sebenarnya. 

Kita hidup berkongsi, menghargai dan juga menyantuni sesama manusia dan alam. Lalu kita akan rasakan bahawa hidup ini indah untuk dinikmati dan diharungi.

Seperti nyamannya Ahad pagi dan pakcik tukang sapu tadi.

No comments:

Post a Comment