Monday 8 August 2016

Tahu

  Jahil kalau menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud tidak mengetahui, bodoh atau cetek pengetahuannya.

  Kita semua pernah jadi jahil, sedang jadi jahil dan akan jadi jahil. Ya, kita semua. Kau, aku dan mereka. Lantaran itu, kita diajar oleh ibu dan bapa di rumah agar tidak jahil mengenai adab dan budi pekerti. Kita masuk sekolah agar kita tidak jahil dengan nombor dan huruf. Kita belajar, diajar dan seterusnya mengajar. Kita juga membaca. Tak kisahlah apa makalah sekalipun, untuk kita terus raih ilmu dan tahu. Ini adalah proses yang kita lalui sepanjang hidup. Dan proses ini takkan berhenti sampailah kita mati. 

 Sebagai manusia yang hidup di zaman Facebook dan Twitter, dimana kesahihan dan kebatilan hanya dipisahkan dengan satu garisan yang sangat halus, mungkin kita akan terjumpa beberapa jenis kejahilan sama ada di alam maya atau alam realiti. Ataupun, kita sendiri yang terlibat dengan kejahilan tersebut. Misalnya, apabila satu isu hangat berbangkit yang selalunya melibatkan displin ilmu yang agak kompleks dan teknikal, kita yang tidak tahu apa-apa ni akan terus merespon dengan pantas lalu memuat naik status atau tweet berkenaan isu tersebut di media sosial. Ada juga yang mahu tonjolkan diri dengan memberikan pendapat atau cuba menghuraikan sesuatu isu yang berbangkit di media sosial walaupun dia tahu yang dirinya bukanlah ahli atau pakar, yakni tiada pengetahuan.

 Mengakulah. Kita pernah terlibat dengan perkara diatas. Aku sendiri pernah memuat naik satu tweet yang bersulamkan kemarahan terhadap satu isu berkaitan undang-undang akibat jahil akan kejadian dan fakta sebenar. Hanya didasari emosi sahaja. Akhirnya aku memadam tweet itu kerana malu setelah mendapat pencerahan daripada beberapa penjelasan berkenaan isu tersebut.

 Apa yang aku ingin fokus dalam penulisan ini adalah berkenaan tindakan segelintir (atau sebahagian besar) kita yang gemar mengambil port (bak kata Matluthfi) tentang sesuatu isu tanpa mengakaji dengan mendalam (macam aku). Seperti yang aku katakan dalam perenggan ketiga diatas, kita akan mengambil port tanpa mengkaji kerana pengaruh emosi dan obsesi mahu tonjolkan diri. Trend juga boleh jadi penyebabnya. Persoalannya, apakah budaya ini tidak sihat?

 Sudah tentunya ya. Tindakan kita yang tidak mengkaji dahulu sebelum meluahkan apa sahaja di media sosial pastinya akan mengundang kekeliruan demi kekeliruan. Akhirnya, apa yang dirasakan benar itu batil dan yang dianggap batil itulah benar.

 Walaubagaimanapun, menurut pendapat aku yang jahil ini, golongan diatas tidak harus dipersalahkan sepenuhnya. Mereka mungkin jahil dan hanya tahu mengambil port sahaja. Tetapi lantaran daripada kejahilan merekalah, ada usaha atau counter dari pihak yang berilmu untuk menyanggah dan seterusnya membawa gagasan pemahaman berdasarkan displin ilmu dan fakta konkrit yang mereka ada. Mereka juga akan cuba membetulkan fakta-fakta yang salah dan sonsang. Akhirnya, golongan jahil dan pihak ketiga yang sekadar menjadi pemerhati akan mendapat pencerahan dan seterusnya beralih ke fasa berikutnya, iaitu tahu. Mereka akhirnya tahu tentang kebenaran tersebut. Dengan erti kata lain, kalau tidak kerana kejahilan mereka inilah, maka kita takkan tahu kebenarannya.

Sebab dengan melalui kegelapanlah kita akan dapat mengenal cahaya (tagline filem Redha).

Jadi apakah penyelesaian tentang masalah ini? Pertama, bagi aku tidak salah kalau kita ingin mengambil tahu tentang sesuatu isu atau perkara yang berbangkit. Bahkan, ini adalah suatu budaya yang baik kerana ada partisipasi masyarakat yang menunjukkan kecaknaan mereka tentang situasi semasa dan sekeliling. Namun, kita haruslah membuat kajian dahulu. Janganlah hanya bergantung kepada satu bacaan sahaja sebelum kesimpulan dibuat secara tergesa-gesa. Sumber itu perlu pelbagai agar perbandingan idea, pro-kontra dan fakta dapat diperolehi. Ideologi juga memainkan peranan kerana ada diantara kita yang memandang skeptik tentang sesuatu pandangan yang berlawanan dengan ideologi yang dipegang lalu mengabaikannya. Contohnya, si liberal mungkin mengabaikan pandangan yang bernuansa islamik dan juga sebaliknya. Hal ini perlu dielakkan agar perbandingan idea dapat berlaku.


Kedua, jika masih tidak tahu. Diam. Serahkan kepada mereka yang ahli. Itu lebih baik. 


No comments:

Post a Comment