Monday 8 August 2016

Bagaimana Shahrul Malek Menjadi Presiden

Buat mereka yang tak tahu, sistem kepimpinan yang diterapkan di MRSM adalah agak istimewa di mana badan tertinggi pelajar adalah dipilih melalui Pilihanraya Maktab. Mereka yang terpilih akan menganggotai kabinet Badan Wakil Pelajar (BWP) yang diketuai oleh seorang presiden. Selalunya, pilihanraya akan dijalankan pada semester kedua setiap tahun dimana pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 2 yang merasakan diri mereka layak dan berkepimpinan boleh memohon untuk dicalonkan. Mereka akan 'menjual diri' dalam satu sesi yang diadakan di dewan, dimana mereka akan memperdagangkan manifesto serta kualiti yang boleh dijadikan gula-gula untuk menambat hati para pengundi. 

Semua orang tahu yang manifesto sememangnya bukan janji. Namun demikian, calon-calon ini perlulah bijak menampilkan manifesto yang kedengaran logik dek akal dan mudah untuk dilaksanakan (walaupun janji itu hanya tinggal janji selepas berkuasa kelak). Kalau kau pi bantai berjanji untuk tukar kontrak Dewan Selera sebaik sahaja kau menang, walaupun idea tersebut kedengaran menarik, kau akan dipandang tak relevan dan seterusnya bakal dihentam oleh pengundi-pengundi (biasanya dari form 5 dan batch sendiri yang menyampah tengok kau). Mereka akan terus-menerus bertanyakan soalan-soalan yang sukar kepada kau dengan harapan kau bakal melondehkan kebodohan di depan mereka semua. Seterusnya, pengundi dari kalangan lower form yang merupkan prospek kemenangan buat calon bakal mengabaikan kau. Sebab kau tampak bodoh. Jadi, walaupun manifesto itu bukan janji, tapi penting untuk kau rencana sebuah strategi bagi menampakkan kematangan dan kemampuan kau untuk memimpin seterusnya memperoleh sokongan daripada pengundi terutamanya pelajar lower form tadi.

Jika BWP boleh diandaikan seperti eksekutif kepada pelajar, LDP pula adalah 'tentera dan polis' yang akan menguatkuasakan undang-undang maktab. Kalau di sekolah selain MRSM, mungkin LDP ini adalah seperti pengawas. Bezanya, ketua LDP bukanlah ketua pelajar. In fact, organisasi LDP itu sendiri aku kira agak unik sebenarnya. Ketua LDP adalah Timbalan Presiden II BWP merangkap Exco Displin. Dibawahnya pula ada Timbalan I, II dan III. Secara praktikal, kuasa mengawal LDP terletak ditangan ketiga-tiga Timbalan ini. Soal pemilihan pula, berbeza dengan BWP yang dilantik secara demokrasi oleh pelajar, LDP pula dipilih melalui temuduga oleh guru.

Semasa form 2, aku pernah dicalonkan oleh guru untuk bertanding dalam Pilihanraya Maktab. Mulanya hanya aku dan Yunus sahaja yang menjadi calon untuk form 2. Memandangkan kuota form 2 dalam kabinet BWP hanya ada dua sahaja (satu lelaki dan satu perempuan), aku sudah mengagak yang pertarungan 2 penjuru antara aku dan Yunus pasti menjadi sengit. Yunus terkenal dikalangan pelajar perempuan batch aku. Aku pula mempunyai pengaruh dikalangan sebahagian senior lelaki. Jika dilakukan analisis, pelajar perempuan batch aku pasti akan mempromosikan Yunus dikalangan akak-akak senior yang rapat dengan mereka. Jumlah pelajar perempuan yang lebih ramai memberikan kelebihan undi kepada Yunus. Walaubagaimanapun, ini hanyalah analisis awal kerana yang bakal menentukan kemenangan di antara kami adalah melalui sesi manifesto.

Entah macam mana, sehari sebelum pendaftaran sebagai calon ditutup, ada seorang manusia yang baru berpindah dari MRSM Terendak ke Lenggong telah mendaftarkan diri secara sukarela pada saat-saat akhir. Shahrul Malek namanya. Dia seorang pelajar baharu dalam batch kami. Nampakanya akan ada pertembungan 3 penjuru. Kalau dibuat analisis awal, ternyata Malek tidak punya kelebihan berbanding aku dan Yunus. Dia pelajar baharu jadi tiada siapa yang mengenalinya. Disebabkan itu , dia tiada prospek pengundi yang boleh memenangkannya. Jadi awal-awal lagi aku sudah ketepikan cabaran manusia kelahiran Lumut ini.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu iaitu sesi manifesto. Ketika giliran tiba, aku memilih untuk menjadi biro akademik dan seterusnya menyampaiakan manifesto yang entah apa-apa. Jika diperhatikan isi-isi manifesto Yunus dan Malek serta cara penyampaian mereka, aku kira kekuatan kami setara dan seimbang. Tak sangka pula manusia bernama Malek itu pandai bercakap. Persaingan semakin ketara dan bahang sudah terasa.

Setelah manifesto dijalankan, masih ada baki beberapa hari sahaja lagi sebelum semua pelajar membuang undi. Kalau zaman aku dulu, selepas manifesto akan ada satu lagi sesi iaitu sesi soal-jawab dimana pelajar akan mula menguji tahap keijaksanaan calon menangani soalan berbentuk provokasi. Kalau kau kelihatan mudah untuk dikoyakkan oleh provokasi dan sindiran, maka awal-awal lagi kau sudah kalah. Kini kalau tak silap aku manifesto dan soal jawab dilaksanakan serentak.

Sepanjang tempoh yang berbaki ini, Malek kelihatan sentiasa memakai songkok tinggi ketika waktu solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta waktu prep malam. Ini menampilkan keunikan identiti yang cuba dibawa olehnya. Pernah aku tanyakan kepadanya adakah songkok tinggi itu adalah sebahagian daripada kempen untuk menarik undi (dan juga perang psikologi) kerana pelajar tak kira batch sememangnya semakin tertarik dengan Malek ini. Sehinggakan, dia digelar rakan se-batch sebagai Songgi (songkok tinggi). Dia nafikan dakwaan tersebut dan nyatakan bahawa songkok itu sudah lama dipakainya sejak di Terendak lagi. Walau apapun statement yang diberikan, Malek sudah mula mendapat perhatian semua pelajar. Bukan sahaja pandai bercakap, penampilannya juga unik. Ini memberikannya nilai tambah untuk menang dalam pilihanraya nanti.

Prep malam dibatalkan untuk memberi laluan kepada sesi soal jawab. Ketika ini semua calon perlu memakai baju melayu lengkap bersampin dan akan duduk sebaris di pentas. Kami tidak perlu lagi mengulangi manifesto sebaliknya perlu memperkenalkan diri sekali lagi, memberitahu jawatan exco yang dipilih dan tagline serta menunggu soalan-soalan maut dari hadirin. Aku masih ingat hanya seorang sahaja yang bertanyakan soalan kepadaku iaitu Haritharan kalau tak silap (budak ni form 1). *dia tanya pasal janji aku untuk buka Pusat Sumber Pembelajaran atau PSP pada waktu malam. Aku cakap it's possible! 

Disebabkan Malek sudah mula menjadi perhatian lantaran persona yang dimilikinya (juga songkok), ada seorang kakak bingkas bangun dan bertanya apakah dia mampu menegur pelajar senior yang membuat kesalahan walaupun dia masih form 2. Jawapan yang diberikan Malek selepas itu bakal menghancurkan peluang aku dan Yunus untuk menang dalam pilihanraya tersebut.

''Saya yakin saya boleh sebab tugas ni adalah tanggungjawab. Kalau saya tak jalankan tugas dengan baik apa pula yang saya harus jawab di kubur nanti?!!", jawab Malek dengan lantang sehingga mendapat tepukan paling gemuruh dari semua pelajar.

Sejak hari itu, tahap kelejenan Malek semakin bertambah. Dia dijemput untuk menyertai pertandingan Debat MRSM Se-Malaysia oleh seorang kakak debat sebaik sahaja selesai pengumuman pemenang Pilihanraya Maktab. Sejak itu juga, dia tidak pernah terlepas mewakili Lenggong dalam mana-mana pertandingan debat dan pidato setiap tahun. Begitulah penangan dan kehebatan seorang lelaki yang pada mulanya aku pandang sebelah mata. Kah Kah Kah.

Aku? Setelah kalah, aku teruskan hidup seperti biasa. Walaupun aku tak dapat menjadi BWP, namun aku masih lagi memegang jawatan sebagai presiden batch sampailah aku form 3. Jangan salah anggap. Bukanlah aku ini seorang yang gipang ( gila pangkat ). Aku bertanding jawatan BWP pun atas kesedaran untuk mengelakkan sebarang pertindihan kuasa antara BWP form 2 dan presiden batch. Alhamdulillah perkara tersebut tidak berlaku. Malah, aku dan Malek menjadi semakin rapat dan berkawan baik sehingga kini.

nota tambahan : Malek meneruskan kelejenannya dengan menjadi Presiden BWP semasa form 4 manakala aku pula dilantik sebagai Timbalan I LDP. Fuh! Haha good old days...









No comments:

Post a Comment