Tuesday 2 August 2016

Kisah Lelaki Yang Terpaksa Menguburkan Cita-Citanya

Minat aku dalam Seni Bina aka Arkitektur ni bermula sejak Tingkatan 2 lagi. Asas permulaan minat tu aku dah lupa tapi yang pastinya minat itu makin mekar semasa aku buat satu drawing based on iklan i-city dekat surat khabar. Masa tu aku berada di bilik Malek pada waktu malam hujung minggu. Biasalah budak asrama. Dia tengah main Monopoly dengan siapa entah (Topa dengan Hadi kot) dan aku dok sibuk melukis. Dan aku melukis sebab suka-suka sahaja ketika itu.

Iklan i-city itu memaparkan satu bangunan (atau menara?) yang semestinya terletak di Shah Alam. Disebabkan aku bosan dan tak reti sangat main Monopoly, jadi aku rembat satu A4 serta pensel tekan dan terus melukis. Mulanya aku copy sebiji-sebiji design bangunan tu tapi lama kelamaan lukisan tersebut jadi semakin rawak. Tangan aku seolah-olah bergerak sendiri dan akhirnya... walaa!! Satu lukisan bangunan-bangunan lengkap dengan jalan dan hutan berjaya dihasilkan. Dekat hujung belah kiri lukisan tu aku tulis

"Bandar Lenggong".

Satu manifestasi imaginasi untuk membina sebuah bandar Lenggong yang moden.

Aku biarkan lukisan tu kat atas katil dan terus masuk tidur. Esoknya, Malek cakap lukisan tu cantik. Begitu juga roomates aku Qhamar, Wan dan Danial yang turut memuji. Waktu itu aku sudah bundarkan hati yang...ya, arkitektur mungkin jalanku.

Maka aku pun mulalah studi pasal bidang ini. Aku baca dan kaji apa itu LAM. Apa itu Part 1,2 dan 3 dan bagaimana untuk mendapatkan gelar Ar. Aku juga menerjah blog-blog pelajar seni bina untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang dipelajari oleh mereka di universiti. Tak cukup dengan itu, aku pernah meminjam tanpa izin sebuah buku dari Pusat Sumber maktab bertajuk Identiti Seni Bina Malaysia: Kritikan Terhadap Pendekatan Reka Bentuk. Memang rasa intelektual habis bila baca buku macam ni tapi akhirnya aku sendiri tak faham satu apa pun. Haha. Tu lah jet jet intelektual lah sangat.

Melalui pembacaan dari buku tadi, aku cuba meng-google tentang beberapa terma dan tokoh arkitek seperti Frank Llyod Wright, Antoni Gaudi dan Hijjaz Kasturi. Bila aku rasa yang aku dah dapat maklumat secukupnya berkaitan arkitektur, aku bundarkan hati sekali lagi dan kata...ya, inilah jalanku.

Sampailah satu saat yang ditunggu-tunggu iaitu Mock Interview, sebuah aktiviti tahunan yang dijalankan di maktab melibatkan semua pelajar tingkatan 5. Dalam Mock Interview ini, kami didedahkan dengan Do's and Don'ts berkaitan temuduga dan seterusnya dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan ditemuduga serentak oleh 3 orang panel. Tahun itu, kesemua panel adalah daripada Taylor's University. Soalan wajib yang akan ditanya ialah 'Apa yang hang nak belajar kat u nanti?' (semestinya dalam English walaupun interview nya olok-olok). Aku ketika ditanya soalan demikian dengan yakinnya menjawab 'architecture'.

'Why?', tanya si penemuduga.

'Because I want to design a landmark and bulding that can bla bla bla....', terangku dengan tenang. Bila ditanya tentang favourite building, aku dengan yakinnya sekali lagi menjawab Sagrada Familia, sebuah gereja yang direka oleh Antoni Gaudi seorang arkitek Sepanyol. Punyalah bangga aku jawab walhal aku bukanlah mengerti sangat pun nilai disebalik seni bina bangunan tersebut. Sekurang-kurangnya, jawapan aku agak mantap la berbanding teamates aku yang lain. Haha.

Ada satu program motivasi yang dijalankan untuk batch aku bertajuk Rahsia Otak Kiri. Nama sahaja Rahsia Otak Kiri tapi sepanjang 2 jam sesi berlangsung penceramah hanya berceloteh tentang kejayaan anak-anaknya sahaja. Sampai sekarang aku tak tahu amenda rahsianya. Okaylah. Di akhir program, kami diberikan sekeping cardboard setiap seorang dan dikehendaki menulis apa yang kami mahukan dalam hidup. Aku volunteer untuk ceritakan apa yang aku tulis dekat board tersebut. Sekali lagi dengan yakinnya aku terangkan kepada hadirin yang aku ingin jadi arkitek siap dengan life plan nya sekali. Aku dapat tepukan gemuruh. Sepertinya jalan ke arah arkitektur itu semakin jelas.

Disebabkan semakin mendalamnya minat aku dalam bidang ini, aku bertekad untuk mengambil subjek Pendidikan Seni Visual untuk SPM. Keluarga aku terkejut sebab tindakan aku agak drastik tanpa meminta konsultasi daripada mereka terlebih dahulu. Aku cakap yang ini adalah sebagai batu loncatan untuk aku sambung pengajian dalam bidang seni bina. Atau paling kurang pun untuk mengcover mana-mana subjek sains yang bakal jahanam masa SPM nanti.

Kuharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Lebat pulak tu hujannya. Aku ingat kalau sudah daftar subjek Pendidikan Seni ni bolehlah aku belajar dengan lebih lanjut dan detail tentang teknik-teknik melukis dan mewarna, shading dan sebagainya. Menjadi suatu tradisi agaknya untuk maktab aku (dan beberapa sekolah lain yang Seni bukanlah subjek utama) untuk tidak mewujudkan satu sesi kelas formal. Kami diminta untuk belajar sendiri. Perjumpaan hanya dilakukan untuk melengkapkan Kerja Kursus Seni sahaja. Yang lain tu pandai-pandai kau lah nak hidup.

Masa ni aku dah mula down dah. Aku mungkin boleh melukis tetapi sangatlah lemah dalam mewarna. Lebih-lebih lagi bila guna water color. Pernah satu ketika aku submit lukisan untuk ujian selaras, muka cikgu terus berubah macam tak puas hati. Pandangan matanya seolah-olah memberi petunjuk yang aku takkan lulus Seni dalam SPM nanti. Waktu tu aku mula rasa menyesal sebab ambil subjek ini. Rasa macam buang masa sahaja. 

'Adakah aku akan menjadi seorang arkitek?', monolog aku sendirian.

Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai kotor lengan baju...kan? Penyudahnya aku praktis sendiri cara mengaler bagi nampaklah ada layer warna tu. Aku praktis berseorangan dekat pantri a.k.a ruang setreka masa malam minggu. Untuk hal-hal teori pula, kami budak Seni sepakat untuk buat grup studi. Alhamdulillah, berkat komitmen semua, makin jelaslah pengetahuan kami tentang apa itu Romantisme, Surealisme dalam lukisan, pop culture, Latiff Mohidin, Pago-Pago, garisan dan sebagainya. Nak dijadikan cerita, aku berjaya juga dapat A untuk Seni semasa SPM. Pergh, masa tu memang rasa power betul. Kalau aku tak ambil Seni, konfem-konfem result SPM aku cuma 5A je. Haha.

Lagi sekali aku cakap dekat diri. Inilah jalannya. Inilah jalannya. Inilah jalannya.....

Lupa yang sebenarnya kita hanyalah merancang sahaja.

Aku akhirnya tak sambung pun belajar dalam bidang seni bina. Instead, I chose Law for my pre-university study. Semuanya bermula masa aku nak isi UPU. Entah macam mana mak aku rasa yang aku patut letak law sebagai pilihan pertama. Mulanya aku keberatan juga tapi bila mak aku cakap yang aku lebih sesuai untuk undang-undang, aku turutkan saja. Dan ya, aku dapat tawaran untuk sambung mengaji dalam Asasi Undang-Undang di kampus Merbok. Sebaik melangkah sahaja kaki ini ke bumi UiTM Merbok buat kali pertama, ketika itu jugalah aku terpaksa kuburkan cita-cita untuk menjadi arkitek buat selama-lamanya. 

Sedar tak sedar, pada 8/8 nanti Inshaallah keputusan penerapan ke program Sarjana Muda Undang-Undang UiTM akan keluar. Kalau difikirkan semula, tak sangka juga yang aku berjaya mengharungi kehidupan sebagai pelajar asasi undang-undang. Dari Merbok pindah ke Dengkil. Dari Federal Constitution ke Contract Law dan dari seorang yang tak ambil peduli kepada cakna. Belajar undang-undang sememangnya memberikan satu pengalaman baharu untuk aku. Kursus ini seperti menyalakan kuriositi dalam diri agar terus menggali ilmu dan tahu itu ini. Dan, aku berharap sangat yang kuriositi ini akan terus dinyalakan dengan berjayanya aku menyambung pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang ini, undang-undang. Inshaallah amin.

Bila disoroti kembali, banyak perkara yang aku pelajari dan ambil iktibar walaupun cerita diatas bukanlah sebuah kisah motivasi (macam Rahsia Otak Kanan tuh!). Pertama, kita mungkin merancang yang terbaik buat diri kita namun fakta yang jelasnya ialah kita sememangnya tidak sempurna. Kita tidak dapat jangka apa yang bakal berlaku pada masa depan sebab kita hanyalah manusia kerdil yang tak berkuasa. Tuhan jua tempat kita meminta tolong dan bergantung.

Siapa tahu, kalau aku berkeras mahu ambil arkitektur, barangkali aku akan lebih tertekan kerana banyak lagi skil dan teknik melukis yang tak boleh (dan mungkin tak mampu) aku kuasai. Dan ketika orang lain semakin maju kedepan, aku masih lagi tersekat di peringkat paling asas.

Siapa tahu bukan?

Iktibar kedua, kau fikirlah sendiri. Hurmm.




No comments:

Post a Comment